Kejadian terbaru tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan 4 orang mangsa dan menyebabkan 5000 penduduk terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing memang meyayat hati. Peristiwa ini adalah ulangan episod runtuhnya kondominium Highland Towers pada Disember 1993 yang juga merupakan kediaman yang dimajukan di lereng bukit.
Disebabkan kejadian ini bermacam-macam teori dikeluarkan oleh banyak pihak tentang sebab musabab runtuhan ini berlaku. Ada yang kata kecuaian pemaju, ketidakcekapan PBT dalam menangani aduan dan banyak lagi. Pada saya, perkara dah terjadi, dan pernah terjadi sepatutnya kita ambil pengajaran. Sekiranya kawasan tersebut tidak sesuai untuk dibangunkan, kenapa pihak bertanggungjawab meluluskan projek berkenaan ketika dicadangkan dahulu? Mustahil strukur tanah di kawasan tersebut tidak dikaji dahulu di awal cadangan pembinaan. Sekarang ni pemaju dan badan kerajaan yang bertanggungjawab meluluskan projek ini dahulu wajib mendedahkan dokumen 'geological test' atau 'soil test' yang mengatakan kawasan tersebut selamat untuk dibangunkan. Sekiranya ada!
Negara kita memang bertuah kerana berada di luar lingkaran gempa bumi dan gunung berapi. Namun, kita harus sentiasa ingat dan menginsafi bahawa bila-bila masa Allah boleh turunkan bala tanpa diduga. Imbas saja Ribut Greg 26 Dis 1996 dan tsunami 26 Dis 2004. Bagi kita yang masih hidup, ini adalah peringatan agar kita sentiasa memperbaharui iman dan taqwa kita kepada Allah seterusnya menjadi manusia bertaraf insan. Tepuk dada tanya selera!