Khamis, 5 Mac 2009

Siapa yang tidak bertamadun?

1. Lucu rasanya bila seorang menteri UMNO mengatakan persidangan bawah pokok DUN Perak sebagai tidak bertamadun.

2. Bukankah sidang tergempar tersebut sepatutnya dilangsungkan di dalam Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi dihalang oleh pasukan unit beruniform yang bernama PDRM? Sudah tentu PDRM diarahkan oleh menterinya Datuk Syed H A.

3. Polis sepatutnya tidak bersifat partisan ketika menjalankan tugas. Tindakan mereka ini jelas menunjukkan mereka dibelenggu oleh kuasa luarbiasa penguasa yang dipelopori UMNO-BN.

4. Mengikut undang-undang, speaker berhak mengadakan sidang tergempar tersebut tanpa mendapat perkenan sultan kerana persidangan DUN sebelum ini cuma ditangguhkan dan bukan tamat sesi.

5. Bermula dengan pandangan TPM dan 'MB tak sah' Perak yang mengatakan mesyuarat tersebut tidak boleh dilaksanakan kerana terdapat kes mahkamah berkaitan kerajaan negeri Perak yang belum selesai serta tidak mendapat perkenan dari Sultan Perak, tiba di hari di mana mesyuarat itu sepatutnya berlangsung, polis tiba-tiba bertindak seolah-olah Bangunan Perak Darul Ridzuan diserang lanun.

6. Walhal yang cuba untuk memasuki bangunan tersebut adalah di kalangan 27 YB Pakatan Rakyat termasuk Tuan Speaker untuk bersidang dan menjalankan tugas sebagai YB yang dipilih secara sah oleh rakyat negeri Perak.

7. Jadi, siapa sebenarnya yang tidak bertamadun? Persidangan bawah pokok atau tindakan polis yang bagai lembu dicucuk hidung dengan menurut tanpa mempertimbangkan perintah sang penguasa untuk menghalang persidangan tergempar DUN Perak daripada berlangsung di dalam Bangunan Perak Darul Ridzuan?

8. Syabas diucapkan kepada YB-YB Pakatan Rakyat kerana tetap meneruskan persidangan di bawah pokok lalu menunjukkan kepada dunia betapa 'bertamadunnya' kepimpinan UMNO-BN yang sedang memerintah Malaysia ketika ini.

9. Pemuda UMNO yang bertindak menyerang dan memaki hamun MP Karpal di Parlimen tidak pula digelar sebagai tidak bertamadun oleh menteri UMNO ni. Seolahnya sikap 'double standard' adalah piawai dan prasyarat untuk dipilih sebagai pimpinan UMNO bulan ini. Sama-sama kita raikan.