Rabu, 26 Ogos 2009

Kejohanan Badminton Dunia & Permatang Pasir

Kejohanan Badminton Dunia BWF, Hyderabad India 2009

Kejohanan Badminton Dunia sudah pun berakhir 16 Ogos yang lalu. Seperti yang saya jangkakan tahun ini bukan tahun untuk mana-mana pemain Malaysia merangkul kejuaraan dunia yang didambakan sejak 32 tahun yang lepas. Biarpun gah Utusan Malaysia dan Berita Harian 'mengangkat' para pemain sebelum kejohanan, namun ibarat 'indah khabar dari rupa', pemain-pemain negara terus kecundang di tengah jalan. Antara tajuk-tajuk berita sukan, 'Ada sinar di Hyderabad'.'Perjuangan Chong Wei bermula' dan "kini giliran saya jadi juara", Chong Wei.

Justeru, masih banyak yang perlu diperbaiki oleh pemain, jurulatih dan BAM sendiri selain ulasan pra-kejohanan oleh dua media arus perdana Utusan Malaysia dan Berita Harian yang perlu disederhanakan agar tidak memberi tekanan berlebihan kepada pemain. Semoga Kejohanan Badminton Dunia tahun depan menjanjikan kilauan emas buat pemain-pemain negara. Mungkin mereka patut belajar daripada pemegang rekod dunia acara 100m dan 200m, Usain Bolt bagaimana caranya untuk menyerap tekanan ketika kejohanan.


Pilihanraya DUN N11 Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Seperti diduga, PAS berjaya mengekalkan kerusi DUN N11 ini dengan majoriti 4551 undi. UMNO beserta jentera kempen yang hebat nampaknya tidak berjaya mengubah pendirian penyokong-penyokong PAS di kawasan tersebut. Sekali lagi, keputusan yang memberangsangkan ini membuktikan kerjasama ampuh di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat : PAS, KeADILan dan DAP membuahkan hasil kemenangan berterusan dalam siri pilihanraya kecil ke7 selepas PRU-12.

Sebelum ini di kawasan Parlimen yang sama (DUN Penanti) UMNO bertindak untuk tidak bertanding atas alasan pilihanraya kecil tersebut telah memperlekehkan Perlembagaan berikutan perletakan jawatan oleh ADUN kawasan tersebut yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang ketika itu Mohammad Fairus Khairudin.Tapi takdir dan perancangan Allah tidak mungkin terjangkau oleh manusia biasa seperti kita.

Ditakdirkan oleh Allah, wakil rakyat kawasan DUN Permatang Pasir dari PAS, Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman  meninggal dunia kerana penyakit jantung dan pilihanraya kecil terpaksa diadakan. Kali ini UMNO tidak dapat mengelak dan terpaksa bertanding kerana menurut Presiden UMNO, kekosongan kerusi tersebut mengikut lunas Perlembagaan. Ternyata UMNO berjaya dalam PRK tersebut. Berjaya apa, kekalkan kekalahan. Tahniah Ustaz Salleh Man, tahniah PAS dan tahniah Pakatan Rakyat!

Sabtu, 1 Ogos 2009

ISA : Satu pendapat

Minggu lepas pada 21-25/07/09, saya berada di Kuala Lumpur kerana berkursus dan pada hari terakhir saya bersama seorang kawan (Encik Y W Lim)menginap di penginapan Perfect Jln TAR. Keadaan pada ketika itu tentulah berbeza berbanding hari ini. Pada hari ini, 01/08/09 kawasan yang saya kunjungi itu telah mencatatkan satu lagi sejarah dalam perkembangan politik Malaysia. Himpunan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan juga Mempertahankan ISA oleh Perwaris dan PERKASA berlangsung secara serentak (lihat gambar). Kawasan Jalan TAR, Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni, Masjid Negara dan beberapa kawasan lain menjadi 'hotspot' yang dipenuhi para demonstran untuk menyuarakan pendirian mereka terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act, ISA).

Saya secara peribadi menyokong sebarang usul, gerakan, cadangan, gesaan dan rayuan untuk memansuhkan akta ini. Ini kerana akta ini telah lama disalahgunakan untuk kepentingan politik UMNO-BN. Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak memperkenalkan akta ini pada asasnya untuk menghapuskan ancaman komunis terhadap negara kita. Pada masa itu, akta ini sangat efektif dan releven serta berjaya menumbangkan ancaman komunis. Terima kasih kepada ISA. Tapi masa dan keadaan telah merobah segalanya termasuklah fungsi ISA ini.

Rasional pendirian saya:

1) ISA bukan lagi digunakan untuk mengekalkan keselamatan negara tetapi menyelamatkan pemimpin UMNO-BN. Ingat kes penahanan RPK oleh bekas Menteri Keselamatan Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar. RPK cuma penulis blog.

2) Ancaman komunis telah lama berkubur di Malaysia.

3)ISA menahan mangsa tanpa perbicaraan dan tempoh tahanan boleh dilanjutkan mengikut kemahuan pemerintah. ISA=IKUT SUKA AKU. Ada yang sampai lebih daripada 5 tahun ditahan. Bila ditahan tanpa perbicaraan, maka tiada pembelaan.

4)Penahanan tanpa perbicaraan adalah amat bertentangan dengan hak asasi manusia. Rujuk SUHAKAM.

5)ISA menzalimi mangsa dan seluruh ahli keluarga mangsa. Ikuti kisah Cikgu Laila di Harakahdaily, yang mana suaminya sedang ditahan di bawah akta ini. Ini baru satu contoh.

Saya harap rakyat Malaysia seluruhnya bersatu menentang akta ketinggalan zaman dan zalim ini. Marilah kita bersama memikirkan perkara terbaik untuk Malaysia tercinta! Kerajaan pimpinan PM Najib perlu segera menterjemahkan SatuMalaysia:'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' dalam bentuk pendekatan dan tindakan.