Jumaat, 6 Januari 2012

Kewujudan 'Third Force' di Sabah bakal memecahkan undi pada PRU13

6 Januari 2012 merupakan hari pelancaran parti politik terbaru di Sabah yang diketuai Datuk Dr. Jeffrey iaitu STAR. Senario ini merupakan kesinambungan daripada sentimen terbaru politik Sabah dengan kemunculan UBF, SPF, dan juga USNO Baru sebelum ini. SAPP sebagai parti pembangkang tempatan sebelum ini sudah pun selesai membincangkan pembahagian kerusi dengan PR pada PRU13 akan datang. Sepatutnya formula PRU12 di Semenanjung di mana hampir setiap kawasan DUN dan Parlimen berlaku pertandingan 2 penjuru di antara BN dan PR (PR wujud selepas PRU12) dilaksanakan di Sabah pada PRU13 ini demi memastikan kemenangan kepada PR dan menjatuhkan pemerintahan berasaskan 'siapa ada kuasa, dia kaya, rakyat bukan tahu apa' UMNO-BN yang sekian lama telah menjadikan negeri Sabah ini antara negeri yang miskin di Malaysia.

Wujudnya barisan parti yang boleh dikatakan 'Third Force' di Sabah pada PRU13 ini,  ianya tidak lebih daripada hanya akan menguntungkan siapa lagi kalau bukan UMNO-BN. Lihat sahaja PRK Batu Sapi setelah berlaku pertandingan 3 penjuru di antara BN, PR dan SAPP. Siapa yang menang? BN juga. Kepimpinan tertinggi PR sepatutnya melihat isu terbaru sebagai perkara berbangkit ini dan melakukan rundingan dengan kadar segera supaya situasi menang-menang dapat diwujudkan tanpa menjejaskan peluang pembangkang untuk merampas negeri Sabah pada PRU13 ini. Kepada penyokong tegar Datuk Dr. Jeffrey, berfikirlah baik-baik, lihatlah rekod beliau dalama arena politik sebagai penilaian. Pemimpin seperti ini kalau pun mungkin akan menang kelak, tapi siapa yang boleh jangka apa tindakan beliau selepas itu? Tiba-tiba BN tawarkan kepada beliau kerusi Ketua Menteri, beliau bisa lompat lagi masuk BN! Akhirnya rakyat juga yang akan rugi. Sendiri mau ingatlah kawan, abang beliau siapa!

Isnin, 10 Januari 2011

Anak cucu boleh merana - PM (Utusan Malaysia)

PUTRAJAYA 10 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan janji pakatan pembangkang untuk melaksanakan ‘Pelan 100 Hari’ jika dapat memerintah negara sebagai amat populis dan tidak berpaksi di bumi nyata.
Perdana Menteri menegaskan, terdapat keanehan serta amat menghairankan apabila pembangkang membentangkan segala janji yang populis tanpa membentangkan sebutir maklumat pun mengenai punca sumber kewangannya untuk pembangunan rakyat.
“Kita tidak boleh mengambil sikap terlalu populis sehingga menggadai masa depan negara dan begitu tidak bertanggungjawab sekali sehingga anak cucu merana kelak. Kalau begitu, bagaimana segala yang dijanjikan kepada rakyat boleh dilaksanakan, boleh ditunaikan.
“Malah tanpa menunggu anak dan cucu, dalam masa dua tahun sahaja menurut perkiraan kita, negara kita jadi macam Greece kalau dilaksanakan segala janji itu tanpa mengambil kira kemampuan negara.
“Justeru, janganlah kita menang sorak kampung tergadai, saya percaya sebagai penjawat awam yang amat berpengetahuan, buatlah penilaian,“ kata beliau sambil menyifatkan 2011 tahun untuk meningkatkan momentum pelaksanaan segala agenda dasar utama negara.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Bulan lalu, pakatan pembangkang mengemukakan tawaran dalam ‘Program 100 hari’ yang mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.
Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilalihan aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.
Selain itu, pembangkang berjanji untuk menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
Dalam aspek ini, Perdana Menteri meminta rakyat berfikiran rasional dengan membuat penilaian bijaksana kerana ‘apabila sesuatu yang diidamkan, maka ia sepatutnya perlu berasaskan kepada kemampuan sendiri’.
Sebagai contoh, kata Najib, jika mahu membeli kereta dan rumah baru, maka perlulah bertanya pada diri sendiri ‘adakah kita mampu dan dari mana punca kewangannya?’.
“Saya selalu berpegang pada ungkapan, kalau kita percaya ada sesuatu yang begitu baik sekali tetapi tidak berpegang dan tidak berpijak pada bumi yang nyata, kita (sebenarnya) telah menipu diri kita sendiri,“ kata beliau.
Justeru, tegas Perdana Menteri, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab secara fiskal, segala perancangan yang telah dibentangkan dan dilaksanakan sepanjang tahun lalu merupakan tindakan sebuah kerajaan yang bertanggungjawab kerana mampu menunaikannya.
Katanya, dua pencapaian utama kerajaan pada tahun lalu adalah berkat daripada usaha bersama antara anggota pentadbiran dan penjawat awam.
“Pertama, kita telah berjaya membawa negara melepasi kesan buruk krisis global yang telah melanda dunia.
“Kita telah pulih kerana kerajaan mengambil tindakan berani dan tegas membentangkan dua pakej rangsangan ekonomi terbesar dan antara terbesar di dunia berdasarkan peratusan Program Transformasi Kerajaan (GTP) serta sistem kewangan negara yang kukuh serta urus tadbir negara yang baik.
“Kedua, pada tahun lalu, kita telah berjaya membentangkan agenda utama kerajaan melalui GTP, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Pelan Transformasi Ekonomi (ETP), Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) dan Model Baru Ekonomi (MBE) dengan lapan strategik inisiatifnya, Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) pembentangan Bajet 2011 dan kita telah mula pelaksanaan awal segala agenda kerajaan itu,“ kata Najib.
Perdana Menteri turut menyatakan rasa syukur apabila sambutan rakyat terhadap agenda utama negara dilihat amat memberangsangkan dengan banyak pihak menzahirkan reaksi positif termasuk juga nilai bursa saham berada di paras tertinggi dalam sejarah negara.
Sehubungan itu, beliau mahu para penjawat awam di semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan memastikan segala yang dirancang dan dibentangkan sebagai agenda utama negara untuk dilaksanakan secara berkesan dan sampai kepada kumpulan sasar iaitu rakyat.
“Saya berharap semua tatacara peraturan kewangan dipatuhi dan dilaksanakan secepat mungkin jika kita nak negara kita maju dan capai kejayaan berdasarkan perancangan kita yang begitu teliti.
“Satu daripada pra syaratnya ialah wujudnya institusi perkhidmatan awam yang mampu mendokong, melaksanakan dengan tegas dan berkesan mengikut jadual yang telah ditentukan supaya kesannya dapat dirasai oleh rakyat,“ katanya.
Menurut beliau, antara pelaksanaan yang telah menampakkan kejayaan ialah pengurangan sebanyak 30 peratus kadar jenayah iaitu tertinggi dalam masa 20 tahun serta kejayaan membawa keluar 40,000 keluarga miskin daripada tergolong dalam miskin tegar manakala 4,000 lagi dalam proses untuk dikeluarkan dari kelompok tersebut.
“Kita juga dapat perbanyakkan kelas-kelas pra sekolah, meningkatkan jumlah pengguna pengangkutan awam, usaha memerangi rasuah semakin meningkat serta projek prasarana berjalan lebih rancak.
“Saya harap kejayaan awal ini memberi kita lebih keyakinan bawa kita berada di landasan yang betul, jika dapat digembleng seluruh kekuatan dan kemampuan, saya percaya pencapaiannya akan bertambah lagi,“ katanya.

Nak tanya sikit:

1. Sekarang anak cucu di kampung tak meranakah?
2. Siapa yang naikkan harga gula, petrol, diesel dan LPG? Mungkin juga minyak masak selepas ini?
3. Salahkah PR merancang sesuatu yang baik untuk rakyat?
4. Bukankah slogan 1Malaysia juga merupakan pendekatan populis?

Rabu, 26 Ogos 2009

Kejohanan Badminton Dunia & Permatang Pasir

Kejohanan Badminton Dunia BWF, Hyderabad India 2009

Kejohanan Badminton Dunia sudah pun berakhir 16 Ogos yang lalu. Seperti yang saya jangkakan tahun ini bukan tahun untuk mana-mana pemain Malaysia merangkul kejuaraan dunia yang didambakan sejak 32 tahun yang lepas. Biarpun gah Utusan Malaysia dan Berita Harian 'mengangkat' para pemain sebelum kejohanan, namun ibarat 'indah khabar dari rupa', pemain-pemain negara terus kecundang di tengah jalan. Antara tajuk-tajuk berita sukan, 'Ada sinar di Hyderabad'.'Perjuangan Chong Wei bermula' dan "kini giliran saya jadi juara", Chong Wei.

Justeru, masih banyak yang perlu diperbaiki oleh pemain, jurulatih dan BAM sendiri selain ulasan pra-kejohanan oleh dua media arus perdana Utusan Malaysia dan Berita Harian yang perlu disederhanakan agar tidak memberi tekanan berlebihan kepada pemain. Semoga Kejohanan Badminton Dunia tahun depan menjanjikan kilauan emas buat pemain-pemain negara. Mungkin mereka patut belajar daripada pemegang rekod dunia acara 100m dan 200m, Usain Bolt bagaimana caranya untuk menyerap tekanan ketika kejohanan.


Pilihanraya DUN N11 Permatang Pasir, Pulau Pinang.

Seperti diduga, PAS berjaya mengekalkan kerusi DUN N11 ini dengan majoriti 4551 undi. UMNO beserta jentera kempen yang hebat nampaknya tidak berjaya mengubah pendirian penyokong-penyokong PAS di kawasan tersebut. Sekali lagi, keputusan yang memberangsangkan ini membuktikan kerjasama ampuh di kalangan parti-parti Pakatan Rakyat : PAS, KeADILan dan DAP membuahkan hasil kemenangan berterusan dalam siri pilihanraya kecil ke7 selepas PRU-12.

Sebelum ini di kawasan Parlimen yang sama (DUN Penanti) UMNO bertindak untuk tidak bertanding atas alasan pilihanraya kecil tersebut telah memperlekehkan Perlembagaan berikutan perletakan jawatan oleh ADUN kawasan tersebut yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang ketika itu Mohammad Fairus Khairudin.Tapi takdir dan perancangan Allah tidak mungkin terjangkau oleh manusia biasa seperti kita.

Ditakdirkan oleh Allah, wakil rakyat kawasan DUN Permatang Pasir dari PAS, Dato' Mohd Hamdan Abdul Rahman  meninggal dunia kerana penyakit jantung dan pilihanraya kecil terpaksa diadakan. Kali ini UMNO tidak dapat mengelak dan terpaksa bertanding kerana menurut Presiden UMNO, kekosongan kerusi tersebut mengikut lunas Perlembagaan. Ternyata UMNO berjaya dalam PRK tersebut. Berjaya apa, kekalkan kekalahan. Tahniah Ustaz Salleh Man, tahniah PAS dan tahniah Pakatan Rakyat!

Sabtu, 1 Ogos 2009

ISA : Satu pendapat

Minggu lepas pada 21-25/07/09, saya berada di Kuala Lumpur kerana berkursus dan pada hari terakhir saya bersama seorang kawan (Encik Y W Lim)menginap di penginapan Perfect Jln TAR. Keadaan pada ketika itu tentulah berbeza berbanding hari ini. Pada hari ini, 01/08/09 kawasan yang saya kunjungi itu telah mencatatkan satu lagi sejarah dalam perkembangan politik Malaysia. Himpunan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan juga Mempertahankan ISA oleh Perwaris dan PERKASA berlangsung secara serentak (lihat gambar). Kawasan Jalan TAR, Sogo, Masjid Jamek, Pasar Seni, Masjid Negara dan beberapa kawasan lain menjadi 'hotspot' yang dipenuhi para demonstran untuk menyuarakan pendirian mereka terhadap Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act, ISA).

Saya secara peribadi menyokong sebarang usul, gerakan, cadangan, gesaan dan rayuan untuk memansuhkan akta ini. Ini kerana akta ini telah lama disalahgunakan untuk kepentingan politik UMNO-BN. Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak memperkenalkan akta ini pada asasnya untuk menghapuskan ancaman komunis terhadap negara kita. Pada masa itu, akta ini sangat efektif dan releven serta berjaya menumbangkan ancaman komunis. Terima kasih kepada ISA. Tapi masa dan keadaan telah merobah segalanya termasuklah fungsi ISA ini.

Rasional pendirian saya:

1) ISA bukan lagi digunakan untuk mengekalkan keselamatan negara tetapi menyelamatkan pemimpin UMNO-BN. Ingat kes penahanan RPK oleh bekas Menteri Keselamatan Dalam Negeri Dato' Seri Syed Hamid Albar. RPK cuma penulis blog.

2) Ancaman komunis telah lama berkubur di Malaysia.

3)ISA menahan mangsa tanpa perbicaraan dan tempoh tahanan boleh dilanjutkan mengikut kemahuan pemerintah. ISA=IKUT SUKA AKU. Ada yang sampai lebih daripada 5 tahun ditahan. Bila ditahan tanpa perbicaraan, maka tiada pembelaan.

4)Penahanan tanpa perbicaraan adalah amat bertentangan dengan hak asasi manusia. Rujuk SUHAKAM.

5)ISA menzalimi mangsa dan seluruh ahli keluarga mangsa. Ikuti kisah Cikgu Laila di Harakahdaily, yang mana suaminya sedang ditahan di bawah akta ini. Ini baru satu contoh.

Saya harap rakyat Malaysia seluruhnya bersatu menentang akta ketinggalan zaman dan zalim ini. Marilah kita bersama memikirkan perkara terbaik untuk Malaysia tercinta! Kerajaan pimpinan PM Najib perlu segera menterjemahkan SatuMalaysia:'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' dalam bentuk pendekatan dan tindakan.


Sabtu, 18 Julai 2009

MSKPPM Sepak Takraw Peringkat ZPA



Gambar: MSKPPM Sepak Takraw Peringkat Zon Pedalaman Atas di Gelanggang Sepak Takraw Tamu Ground Nabawan 17-18 Julai 2009.










Nabawan: 17-19 Julai 2009. MSKPPM Peringkat Zon Pedalaman Atas berlangsung di beberapa venue sekitar Daerah Nabawan. Sepak Takraw di Gelanggang Tamu Ground, Badminton di Dewan Serbaguna Masyarakat Nabawan dan Bola Sepak di Padang SMK Nabawan 2.

Saban tahun Keningau telah mendominasi beberapa jenis sukan di peringkat ini dan nampaknya tahun ini Keningau masih berbisa dengan menjuarai Badminton, tempat ke-3 Sepak Takraw dan ketika artikel ini ditulis, pasukan Keningau telah masuk ke peringkat akhir acara Bola Tampar Lelaki bertemu pasukan Tenom. Begitu juga dengan Bolasepak Kategori Terbuka, pasukan Keningau sedang mendahului liga. Tahniah buat para pemain. Restoran dan peniaga Tamu di Pekan Nabawan senyum lebar kerana perniagaan mereka untung besar hari ini!












Kenangan di Batu Punggul 2007...

Gambar-gambar ini diambil semasa Kelab Staf SMK Keningau melakukan lawatan amal ke Kg Salarom Taka, Sepulut. Gambar pertama ialah golongan mereka yang berjaya menawan Puncak Batu Punggul...hehe...yang tiada tu...faham-fahamlah...mungkin dorang lebih suka masuk gua dari mendaki...Program ni banyak memberikan pengalaman baru buat kami semua seperti tinggal di rumah panjang moden suku kaum Murut (2oo meter panjang), menaiki bot berenjin di Sungai Sepulut, Mendaki Batu Punggul, masuk Gua Tinahas, mandi sungai beramai-ramai dan macam-macam lagi...Syabas SeMeKen!

Jumaat, 19 Jun 2009

BWF: Super SeriesTerbuka Indonesia

Ketika artikel ini ditulis, pemain-pemain badminton Malaysia sedang beraksi di peringkat suku akhir Kejohanan Terbuka indonesia di Stadium Istora Senayan. Tumpuan kita sudah tentunya menghala kepada pemain badminton perseorangan nombor 1 dunia iaitu Datuk Lee Chong Wei yang tewas kepada pemain tidak ternama dari Vietnam, Nguyen Tien Minh pada peringkat pusingan kedua dalam Kejohanan Terbuka Singapura minggu lepas. Kita yakin Datuk Lee Chong Wei akan berusaha sedaya upaya untuk menebus kehampaan itu di kejohanan ini. Lawannya pada kali ini ialah pemain handalan dari Korea Selatan, Park Sung Hwan merupakan lawan yang bukan mudah buatnya. Kita cuma mengharapkan aksi terbaik daripada pemain-pemain kita ini seterusnya berjaya merangkul seberapa banyak kejuaraan.

Persoalan di sini ialah masih ada harapankah buat kita dan juga negara-negara lain untuk mengatasi kehebatan pemain-pemain dari China dalam masa terdekat ini? Nyata dan jelas pemain-pemain China terlalu hebat dan telah mendominasi sukan badminton ini sejak 3 tahun kebelakangan ini. Sudah tentu mereka telah menemui satu ramuan yang penting sehingga dapat membentuk sebuah pasukan yang hampir menyapu bersih semua trofi dalam mana-mana kejohanan.

Masalah utama ialah sikap pemain itu sendiri. Apabila berjaya dan dijulang setinggi langit oleh media, pemain tersebut mulalah lupa diri. Lihat saja bekas juara All England 2003, Muhd Hafiz Hashim. Semenjak daripada kejayaan beliau itu, tidak ada satu pun kejohanan yang dimenanginya sehinggalah sekarang.

Saya masih ingat lagi selepas beliau menang dalam kejohanan tersebut, beliau disambut bagai 'Wira Melayu' dengan begitu gah sekali dan banyaklah pemimpin termasuk ahli-ahli politik Melayu yang tumpang sekaki populariti beliau pada ketika itu. Yang paling lucu ialah bila ada pihak yang mencadangkan hadiah berupa kereta kepada beliau, beliau boleh spesifikkan pula hadiah tersebut dengan berkata (lebih kurang dalam laporan Utusan Malaysia), "Saya nak kereta Waja Sport".

Selepas diberi hadiah-hadiah yang lumayan, lihat bagaimana pemain ini 'membalas' jasa kepada negara tercinta. Ponteng latihan, mengancam untuk keluar dari BAM dan menunjukkan aksi seorang pemain amatur badminton setiap kali ada kejohanan. Misbun Sidek sendiri pun pernah menyuarakan kekesalan terhadap prestasi dan komitmen pemain ini secara terbuka.

Kesimpulannya, yang main, yang mahu menang, yang inginkan gelaran adalah pemain itu sendiri. Mereka sendirilah yang mencorak masa depan mereka dengan kerjaya sebagai pemain badminton negara. Media juga harus berhati-hati dalam memberikan publisiti terhadap mana-mana pemain. Media perlu realistik dan bersifat sederhana dalam ulasan mereka. Jangan pula pemain kita baru sahaja menang pusingan pertama, akhbar sudah menulis "Chong Wei menghampiri kejuaraan". Tup-tup kalah pusingan kedua.