Jumaat, 19 Jun 2009

BWF: Super SeriesTerbuka Indonesia

Ketika artikel ini ditulis, pemain-pemain badminton Malaysia sedang beraksi di peringkat suku akhir Kejohanan Terbuka indonesia di Stadium Istora Senayan. Tumpuan kita sudah tentunya menghala kepada pemain badminton perseorangan nombor 1 dunia iaitu Datuk Lee Chong Wei yang tewas kepada pemain tidak ternama dari Vietnam, Nguyen Tien Minh pada peringkat pusingan kedua dalam Kejohanan Terbuka Singapura minggu lepas. Kita yakin Datuk Lee Chong Wei akan berusaha sedaya upaya untuk menebus kehampaan itu di kejohanan ini. Lawannya pada kali ini ialah pemain handalan dari Korea Selatan, Park Sung Hwan merupakan lawan yang bukan mudah buatnya. Kita cuma mengharapkan aksi terbaik daripada pemain-pemain kita ini seterusnya berjaya merangkul seberapa banyak kejuaraan.

Persoalan di sini ialah masih ada harapankah buat kita dan juga negara-negara lain untuk mengatasi kehebatan pemain-pemain dari China dalam masa terdekat ini? Nyata dan jelas pemain-pemain China terlalu hebat dan telah mendominasi sukan badminton ini sejak 3 tahun kebelakangan ini. Sudah tentu mereka telah menemui satu ramuan yang penting sehingga dapat membentuk sebuah pasukan yang hampir menyapu bersih semua trofi dalam mana-mana kejohanan.

Masalah utama ialah sikap pemain itu sendiri. Apabila berjaya dan dijulang setinggi langit oleh media, pemain tersebut mulalah lupa diri. Lihat saja bekas juara All England 2003, Muhd Hafiz Hashim. Semenjak daripada kejayaan beliau itu, tidak ada satu pun kejohanan yang dimenanginya sehinggalah sekarang.

Saya masih ingat lagi selepas beliau menang dalam kejohanan tersebut, beliau disambut bagai 'Wira Melayu' dengan begitu gah sekali dan banyaklah pemimpin termasuk ahli-ahli politik Melayu yang tumpang sekaki populariti beliau pada ketika itu. Yang paling lucu ialah bila ada pihak yang mencadangkan hadiah berupa kereta kepada beliau, beliau boleh spesifikkan pula hadiah tersebut dengan berkata (lebih kurang dalam laporan Utusan Malaysia), "Saya nak kereta Waja Sport".

Selepas diberi hadiah-hadiah yang lumayan, lihat bagaimana pemain ini 'membalas' jasa kepada negara tercinta. Ponteng latihan, mengancam untuk keluar dari BAM dan menunjukkan aksi seorang pemain amatur badminton setiap kali ada kejohanan. Misbun Sidek sendiri pun pernah menyuarakan kekesalan terhadap prestasi dan komitmen pemain ini secara terbuka.

Kesimpulannya, yang main, yang mahu menang, yang inginkan gelaran adalah pemain itu sendiri. Mereka sendirilah yang mencorak masa depan mereka dengan kerjaya sebagai pemain badminton negara. Media juga harus berhati-hati dalam memberikan publisiti terhadap mana-mana pemain. Media perlu realistik dan bersifat sederhana dalam ulasan mereka. Jangan pula pemain kita baru sahaja menang pusingan pertama, akhbar sudah menulis "Chong Wei menghampiri kejuaraan". Tup-tup kalah pusingan kedua.

Tiada ulasan: