Sabtu, 18 Julai 2009

MSKPPM Sepak Takraw Peringkat ZPA



Gambar: MSKPPM Sepak Takraw Peringkat Zon Pedalaman Atas di Gelanggang Sepak Takraw Tamu Ground Nabawan 17-18 Julai 2009.










Nabawan: 17-19 Julai 2009. MSKPPM Peringkat Zon Pedalaman Atas berlangsung di beberapa venue sekitar Daerah Nabawan. Sepak Takraw di Gelanggang Tamu Ground, Badminton di Dewan Serbaguna Masyarakat Nabawan dan Bola Sepak di Padang SMK Nabawan 2.

Saban tahun Keningau telah mendominasi beberapa jenis sukan di peringkat ini dan nampaknya tahun ini Keningau masih berbisa dengan menjuarai Badminton, tempat ke-3 Sepak Takraw dan ketika artikel ini ditulis, pasukan Keningau telah masuk ke peringkat akhir acara Bola Tampar Lelaki bertemu pasukan Tenom. Begitu juga dengan Bolasepak Kategori Terbuka, pasukan Keningau sedang mendahului liga. Tahniah buat para pemain. Restoran dan peniaga Tamu di Pekan Nabawan senyum lebar kerana perniagaan mereka untung besar hari ini!












Kenangan di Batu Punggul 2007...

Gambar-gambar ini diambil semasa Kelab Staf SMK Keningau melakukan lawatan amal ke Kg Salarom Taka, Sepulut. Gambar pertama ialah golongan mereka yang berjaya menawan Puncak Batu Punggul...hehe...yang tiada tu...faham-fahamlah...mungkin dorang lebih suka masuk gua dari mendaki...Program ni banyak memberikan pengalaman baru buat kami semua seperti tinggal di rumah panjang moden suku kaum Murut (2oo meter panjang), menaiki bot berenjin di Sungai Sepulut, Mendaki Batu Punggul, masuk Gua Tinahas, mandi sungai beramai-ramai dan macam-macam lagi...Syabas SeMeKen!

Jumaat, 19 Jun 2009

BWF: Super SeriesTerbuka Indonesia

Ketika artikel ini ditulis, pemain-pemain badminton Malaysia sedang beraksi di peringkat suku akhir Kejohanan Terbuka indonesia di Stadium Istora Senayan. Tumpuan kita sudah tentunya menghala kepada pemain badminton perseorangan nombor 1 dunia iaitu Datuk Lee Chong Wei yang tewas kepada pemain tidak ternama dari Vietnam, Nguyen Tien Minh pada peringkat pusingan kedua dalam Kejohanan Terbuka Singapura minggu lepas. Kita yakin Datuk Lee Chong Wei akan berusaha sedaya upaya untuk menebus kehampaan itu di kejohanan ini. Lawannya pada kali ini ialah pemain handalan dari Korea Selatan, Park Sung Hwan merupakan lawan yang bukan mudah buatnya. Kita cuma mengharapkan aksi terbaik daripada pemain-pemain kita ini seterusnya berjaya merangkul seberapa banyak kejuaraan.

Persoalan di sini ialah masih ada harapankah buat kita dan juga negara-negara lain untuk mengatasi kehebatan pemain-pemain dari China dalam masa terdekat ini? Nyata dan jelas pemain-pemain China terlalu hebat dan telah mendominasi sukan badminton ini sejak 3 tahun kebelakangan ini. Sudah tentu mereka telah menemui satu ramuan yang penting sehingga dapat membentuk sebuah pasukan yang hampir menyapu bersih semua trofi dalam mana-mana kejohanan.

Masalah utama ialah sikap pemain itu sendiri. Apabila berjaya dan dijulang setinggi langit oleh media, pemain tersebut mulalah lupa diri. Lihat saja bekas juara All England 2003, Muhd Hafiz Hashim. Semenjak daripada kejayaan beliau itu, tidak ada satu pun kejohanan yang dimenanginya sehinggalah sekarang.

Saya masih ingat lagi selepas beliau menang dalam kejohanan tersebut, beliau disambut bagai 'Wira Melayu' dengan begitu gah sekali dan banyaklah pemimpin termasuk ahli-ahli politik Melayu yang tumpang sekaki populariti beliau pada ketika itu. Yang paling lucu ialah bila ada pihak yang mencadangkan hadiah berupa kereta kepada beliau, beliau boleh spesifikkan pula hadiah tersebut dengan berkata (lebih kurang dalam laporan Utusan Malaysia), "Saya nak kereta Waja Sport".

Selepas diberi hadiah-hadiah yang lumayan, lihat bagaimana pemain ini 'membalas' jasa kepada negara tercinta. Ponteng latihan, mengancam untuk keluar dari BAM dan menunjukkan aksi seorang pemain amatur badminton setiap kali ada kejohanan. Misbun Sidek sendiri pun pernah menyuarakan kekesalan terhadap prestasi dan komitmen pemain ini secara terbuka.

Kesimpulannya, yang main, yang mahu menang, yang inginkan gelaran adalah pemain itu sendiri. Mereka sendirilah yang mencorak masa depan mereka dengan kerjaya sebagai pemain badminton negara. Media juga harus berhati-hati dalam memberikan publisiti terhadap mana-mana pemain. Media perlu realistik dan bersifat sederhana dalam ulasan mereka. Jangan pula pemain kita baru sahaja menang pusingan pertama, akhbar sudah menulis "Chong Wei menghampiri kejuaraan". Tup-tup kalah pusingan kedua.

Khamis, 18 Jun 2009

Cerita tentang BI SPM...

Sewaktu saya berada dalam tingkatan 3 (1993), ada seorang senior saya mendapat 16 aggregat SPM (Pangkat 1). Ketika itu belum wujud sistem persijilan terbuka untuk SPM. Ironinya beliau mendapat f9 (gagal) dalam matapelajaran matematik dan bahasa Inggeris. Beliau meneruskan pengajian di tingkatan 6 dan 2 tahun selepas itu menduduki STPM. Dengan keputusan STPM yang cemerlang iaitu 5 Prinsipal, beliau berjaya melanjutkan pelajaran ke UKM. Sekarang ini beliau merupakan guru siswazah gred DG41 dan bertugas di salah sebuah sekolah terkemuka di Sabah. Beliau mengajar mata pelajaran Geografi tingkatan 6. Tidak lama lagi beliau akan dilantik sebagai guru akademik tingkatan 6 gred DG44 dan hidup beliau juga kelihatan agak senang kerana beliau juga ada menjalankan perniagaan secara sambilan untuk menambah pendapatan. Cuba anda bayangkan jika pada ketika beliau mngambil SPM, kerajaan mewajibkan lulus Bahasa Inggeris untuk dapat sijil. Adakah anda rasa kehidupan beliau sama seperti sekarang?

Pada pendapat saya, tidak semestinya GAGAL bahasa Inggeris di peringkat SPM menjadikan seseorang itu gagal dalam hidup.Jadi peluang mereka janganlah dinafikan, berikanlah peluang untuk mereka belajar selagi ada. Contoh kisah benar yang saya bawakan di atas amat jelas sekali. Janganlah kerajaan buat dasar yang boleh menganiaya pelajar yang memang lemah dan tidak ada 'intelligence' dalam bidang liguistik (bahasa). Mungkin ada pelajar yang lemah dalam bahasa Inggeris tapi pakar dalam sejarah dan subjek-subjek lain! Kasihan pelajar-pelajar di luar bandar kerana dasar kerajaan yang ada sekarang jarang memihak kepada mereka. Bukan tidak ada, tapi jarang-jarang dalam kekadangan.

Khamis, 5 Mac 2009

Siapa yang tidak bertamadun?

1. Lucu rasanya bila seorang menteri UMNO mengatakan persidangan bawah pokok DUN Perak sebagai tidak bertamadun.

2. Bukankah sidang tergempar tersebut sepatutnya dilangsungkan di dalam Bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi dihalang oleh pasukan unit beruniform yang bernama PDRM? Sudah tentu PDRM diarahkan oleh menterinya Datuk Syed H A.

3. Polis sepatutnya tidak bersifat partisan ketika menjalankan tugas. Tindakan mereka ini jelas menunjukkan mereka dibelenggu oleh kuasa luarbiasa penguasa yang dipelopori UMNO-BN.

4. Mengikut undang-undang, speaker berhak mengadakan sidang tergempar tersebut tanpa mendapat perkenan sultan kerana persidangan DUN sebelum ini cuma ditangguhkan dan bukan tamat sesi.

5. Bermula dengan pandangan TPM dan 'MB tak sah' Perak yang mengatakan mesyuarat tersebut tidak boleh dilaksanakan kerana terdapat kes mahkamah berkaitan kerajaan negeri Perak yang belum selesai serta tidak mendapat perkenan dari Sultan Perak, tiba di hari di mana mesyuarat itu sepatutnya berlangsung, polis tiba-tiba bertindak seolah-olah Bangunan Perak Darul Ridzuan diserang lanun.

6. Walhal yang cuba untuk memasuki bangunan tersebut adalah di kalangan 27 YB Pakatan Rakyat termasuk Tuan Speaker untuk bersidang dan menjalankan tugas sebagai YB yang dipilih secara sah oleh rakyat negeri Perak.

7. Jadi, siapa sebenarnya yang tidak bertamadun? Persidangan bawah pokok atau tindakan polis yang bagai lembu dicucuk hidung dengan menurut tanpa mempertimbangkan perintah sang penguasa untuk menghalang persidangan tergempar DUN Perak daripada berlangsung di dalam Bangunan Perak Darul Ridzuan?

8. Syabas diucapkan kepada YB-YB Pakatan Rakyat kerana tetap meneruskan persidangan di bawah pokok lalu menunjukkan kepada dunia betapa 'bertamadunnya' kepimpinan UMNO-BN yang sedang memerintah Malaysia ketika ini.

9. Pemuda UMNO yang bertindak menyerang dan memaki hamun MP Karpal di Parlimen tidak pula digelar sebagai tidak bertamadun oleh menteri UMNO ni. Seolahnya sikap 'double standard' adalah piawai dan prasyarat untuk dipilih sebagai pimpinan UMNO bulan ini. Sama-sama kita raikan.

Isnin, 8 Disember 2008

Tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa

Kejadian terbaru tanah runtuh di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan 4 orang mangsa dan menyebabkan 5000 penduduk terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing memang meyayat hati. Peristiwa ini adalah ulangan episod runtuhnya kondominium Highland Towers pada Disember 1993 yang juga merupakan kediaman yang dimajukan di lereng bukit.
Disebabkan kejadian ini bermacam-macam teori dikeluarkan oleh banyak pihak tentang sebab musabab runtuhan ini berlaku. Ada yang kata kecuaian pemaju, ketidakcekapan PBT dalam menangani aduan dan banyak lagi. Pada saya, perkara dah terjadi, dan pernah terjadi sepatutnya kita ambil pengajaran. Sekiranya kawasan tersebut tidak sesuai untuk dibangunkan, kenapa pihak bertanggungjawab meluluskan projek berkenaan ketika dicadangkan dahulu? Mustahil strukur tanah di kawasan tersebut tidak dikaji dahulu di awal cadangan pembinaan. Sekarang ni pemaju dan badan kerajaan yang bertanggungjawab meluluskan projek ini dahulu wajib mendedahkan dokumen 'geological test' atau 'soil test' yang mengatakan kawasan tersebut selamat untuk dibangunkan. Sekiranya ada!
Negara kita memang bertuah kerana berada di luar lingkaran gempa bumi dan gunung berapi. Namun, kita harus sentiasa ingat dan menginsafi bahawa bila-bila masa Allah boleh turunkan bala tanpa diduga. Imbas saja Ribut Greg 26 Dis 1996 dan tsunami 26 Dis 2004. Bagi kita yang masih hidup, ini adalah peringatan agar kita sentiasa memperbaharui iman dan taqwa kita kepada Allah seterusnya menjadi manusia bertaraf insan. Tepuk dada tanya selera!

Selasa, 25 November 2008

PPSMI

Isu mengenai PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris) menjadi topik hangat di Kementerian Pelajaran kini. PPSMI diwujudkan pada zaman Tun Dr. Mahathir masih lagi memegang tampuk pemerintahan negara pada tahun 2003. Tujuan utama PPSMI diwujudkan ialah supaya anak Malaysia mampu menguasai bahasa Inggeris dan juga Sains dan Teknologi dengan lebih baik. Benarkah idea ini mampu mencapai objektifnya?Apakah hanya dengan mampu bertutur bahasa Inggeris sahaja kita akan lebih maju? Bagaimana pula dengan bahasa kebangsaan kita yang entah sudah berapa kali bertukar nama dari Bahasa Malaysia-Bahasa Melayu-Bahasa Malaysia? Kita seolahnya menidakkan kemampuan bahasa kebangsaan sendiri sebagai bahasa ilmu sains dan matematik.Sekarang ini Kementerian Pelajaran sedang dalam proses perbincangan secara intensif (meja bulat kelima) untuk menentukan masa depan PPSMI. Walaupun keputusan muktamad belum ada, tetapi ramai pakar dan pejuang bahasa, pemimpin politik termasuk Ketua Perhubungan UMNO Johor Tan Sri Abdul Ghani Othman, tokoh pendidikan, hatta gurut-guru PPSMI mahu agar PPSMI ditarik balik. Kalau kita melihat kepada negara Jepun, Jerman, Perancis, Itali, Belanda, Brazil, Korea Selatan dan China mereka boleh juga maju walaupun tidak menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu Sains dan Matematik. Baru-baru ini Tun Dr. Mahathir ada menyatakan yang PPSMI wajar dteruskan. Mungkinkah ini cubaan beliau untuk memastikan yang legasi peninggalan beliau adalah yang terbaik dan wajar diteruskan? Dalam hal ini, Meteri Pelajaran, Dato' Seri Hishammuddin Tun Hussein perlu mencari keputusan yang terbaik demi pelajar, masyarakat, bangsa, bahasa dan negara. Ayoh Dato' Seri! Kesampingkan segala pengaruh dari luar yang cuba membuat keputusan bagi pihak Kementerian Pelajaran. Apa yang signifikan, sekiranya kita ingin melihat pelajar kita mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan baik, kurikulum bahasa Inggeris itu yang wajar dikaji secara mendalam. Wahai pakar-pakar kurikulum dan silibus! Bertindaklah dengan mencari ruang yang boleh diperbaiki agar penguasaan pelajar dalam bahasa Inggeris dapat dipertingkatkan! Menjadikan Sains dan Matematik sebagai penambah nilai terhadap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar bukan sahaja satu kesilapan dan penghinaan terhadap bahasa kebangsaan tetapi sebenarnya satu pembaziran wang rakyat tanpa kita sedari. Tepuk dada, tanya selera!